Monday, 12 August 2013

Puasa Enam Di Bulan Syawal



Kini kita masih berada dalam bulan Syawal. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mari kita berpuasa enam di bulan Syawal ini =). Adakah puasa enam Syawal perlu dilaksanakan secara berturut-turut atau sebaliknya. Sebenarnya cara yang afdhal (terbaik) adalah berpuasa secara berturut-turut sebaik sahaja selepas Aidilfitri yang pertama menurut pandangan mazhab Shafie dan Hanafi.

Akan tetapi, cara demikian iaitu berpuasa berturut-turut selepas Aidilfitri pertama tidaklah menjadi suatu rukun atau syarat terhadap ibadat puasa enam Syawal ini. Malah ganjaran sunatnya tetap diperolehi sekalipun dilakukan secara berselang-seli asalkan ia dikerjakan sebanyak enam hari dalam bulan Syawal.

lni berdasarkan hadis daripada Abu Ayub RA, sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun” (Riwayat Muslim dan lain-lain)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa berpuasa enam hari selepas hari raya Aidilfitri maka adalah dia mencukupi setahun. Barangsiapa mengerjakan satu kebajikan maka baginya sepuluh kali ganda.” 
(Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi, Ahmad dan lain-lain)

Berdasarkan hadis-hadis ini juga, mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal diibaratkan oleh Rasulullah SAW bagaikan berpuasa sepanjang tahun. Ini kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genaplah setahun.” (Riwayat al-Darimi)

Selain itu, persoalan lain yang sering timbul juga adalah mengenai manakah dahulu perlu diutamakan antara puasa qada’ Ramadan dan puasa enam Syawal. Perlu diingatkan bahawa mengqada’ puasa Ramadan merupakan suatu kewajipan yang perlu dilunaskan sebanyak hari yang ditinggalkan. Ia merupakan ‘hutang’ manusia kepada Allah SWT. Namun begitu, bagi sesiapa yang benar-benar keuzuran sehingga tidak berdaya mengerjakan puasa, mereka tidak diwajibkan mengqada’ puasa yang ditinggalkan itu, tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan.

Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya (berpuasa kerana keuzuran dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin.” (Surah al-Baqarah: Ayat 184)

Dalam mengerjakan qada’ puasa Ramadan, para ulama menyatakan bahawa orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran, mereka dikehendaki menyegerakan mengqada’ puasa tersebut. Bahkan sebahagian ulama berpendapat tidak diharuskan melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam Syawal selagi tidak selesai mengqada’ puasa Ramadan.

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti perempuan haid atau nifas, diharuskan bagi mereka mengerjakan puasa enam Syawal terlebih dahulu sekalipun mereka masih mempunyai puasa qada’ Ramadan.

Perkara ini mungkin berlaku disebabkan mereka berada di akhir Syawal dan dikuatiri tidak sempat menghabiskan puasa enam Syawal. Pun begitu, mengutamakan puasa qada’ Ramadan adalah lebih baik jika mereka mempunyai waktu yang cukup untuk menghabiskan puasa qada’ Ramadan dan puasa enam Syawal dalam bulan Syawal itu juga.

Adapun mengenai persoalan niat puasa qada’ dan puasa sunat secara serentak, berlaku khilaf di kalangan ulama. Sebilangan ulama menyatakan harus diniatkan dan ditunaikan puasa qada’ Ramadan dan puasa sunat enam Syawal secara serentak.
Namun kebanyakan ulama berpendapat jika dapat memisahkan puasa tersebut iaitu melakukan puasa qada’ Ramadan dan puasa enam Syawal pada hari yang berlainan adalah lebih baik berbanding dengan berpuasa secara serentak.

Berikut merupakan keterangan dan langkah-langkah yang boleh dijadikan panduan mengenai puasa serentak ini:

1. Selesaikan puasa qada’ Ramadan terlebih dahulu sebelum berpuasa enam Syawal. Ia adalah lebih baik dengan mengutamakan puasa qada’ Ramadan yang wajib terlebih dahulu sebelum berpuasa sunat. Hal ini dilihat bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan kebaikan bagi) keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang berbuat kebajikan.” 
 (Surah ali-Imran: Ayat 133)

2. Namun jika kita tidak mampu melaksanakan puasa qada’ Ramadan dan puasa enam Syawal secara berasingan di dalam bulan Syawal, maka harus kita mendahulukan puasa enam Syawal terlebih dahulu. Ini kerana puasa enam Syawal hanya boleh dikerjakan pada bulan Syawal sahaja sedangkan puasa qada’ Ramadan boleh dikerjakan selepas bulan Syawal.

3. Jika kita tidak mampu juga melaksanakan puasa enam Syawal dan qada’ Ramadan secara berasingan disebabkan keuzuran, maka puasa secara serentak antara puasa enam Syawal dan qada’ Ramadan adalah langkah terbaik.

Demikianlah beberapa penjelasan mengenai permasalahan berkaitan puasa enam Syawal yang sering menjadi persoalan di kalangan umat Islam di Malaysia pada masa kini. Semoga dengan penerangan ini akan menjadikan puasa enam Syawal kita lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. InsyaAllah.

Wallahualam.


No comments:

Post a Comment