Friday 24 August 2012

Bercinta dengan Rasulullah SAW



 Pepatah Melayu ada menyebut – “Tak kenal maka tak Cinta”. Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.

Tidak hairanlah dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma’rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.

Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan ’Ya Ayyhuhannas’ ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.

Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.
Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyah tersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada Tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain – telah jelas dari sudut akidahnya.

No comments:

Post a Comment