Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar
sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah.
Sudahkah kita benar-benar
menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus?
Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?
Tahukah anda bagaimana mahu mengukur
tahap anda menghadap kepada Allah?
Mudah
saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat.
Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul
menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang selain-Nya seperti kerja
yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang.
Sebaik anda mengangkat takbiratul
ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran,
pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs
iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu.
Sekiranya kesedaran anda
kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu,
maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan
kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan
kehidupan anda.
Bayangkan di dalam sebuah kelas,
sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan
sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap
kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita
mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki
solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan.
Solat adalah suatu perbuatan yang
dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan
menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru
Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan
dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa
pembuka solat iaitu Doa Iftitah,
“Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke
wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi” dan kalimah seterusnya
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”.
Bayangkan sekiranya seseorang itu
menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini, iaitu dengan melakukan apa
yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi
perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika
dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan
kehidupannya hanya untuk Allah.
Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila
seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan
diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya
mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap
waktu dan ketika. Firman Allah; “.. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan
keji dan mungkar”
Ramai umat Islam hari ini mempunyai
masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini?
Pertamanya kerana tidak adanya ilmu
bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat.
Dari kecil, kita diajar
dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang
membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk
dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting
agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah.
Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya.
Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan
lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang
dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita
telah mensyirikkan Allah.
Keduanya, setelah kita belajar solat
dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai masalah untuk khusyuk? Ini adalah
kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu) yang sering mengajak kepada
kejahatan. Diri kita masih mempunyai banyak keinginan yang berkaitan dengan
dunia.
Justeru ketika kita mahu
menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat, keinginan-keinginan dunia dari
hawa nafsu akan menarik kesedaran terhadap Allah dan membawa kita kesedaran
dunia dan isinya. Justeru solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak
menghadap kepada Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi
masalah ini?
Allah sudah menyiapkan senjata untuk
kita menawan hawa nafsu kita agar dia menjadi lemah dan tidak mampu untuk
menarik perhatian kita dari Allah. Senjata itu adalah Puasa.
Hawa Nafsu kita berasal dari
dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan
dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan
Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu itu.
Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di
akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak
kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan
secara penuh kepada Allah.
Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan
suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan “kembalilah ke fitrah yang
suci” di bulan Ramadhan.
Allah memberikan kita senjata yang
kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah
zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah.
Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai.
Contohnya
seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik
untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan
membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering menarik
kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia dan isinya.
Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan
khusyuk.
Apa jadi selepas bulan Ramadhan?
Senjata sudah tidak digunakan lagi?
Pastinya kita memerlukan senjata ini
setiap waktu dan ketika kerana kita harus menghadapkan diri dan kehidupan kita
kepada Allah setiap bulan dan bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan
hamba-Nya untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah
berpuasa enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di
mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan ‘open
house’ di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua
iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.
Apa yang berlaku selepas puasa enam?
Rasulullah mengajar kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu
senjata yang tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu
untuk sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya
dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya
dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini
secara berterusan.
Jangan lupa juga untuk keluarkan zakat
atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita
dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap minggu; Isnin, Khamis berpuasa,
Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk
solat berjamaah, hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada
sesiapa yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.
Inilah rahsia hebat yang sering kita
terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya jadi rutin beragama yang
dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan
menawan hawa nafsu jadi bulan yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa
nafsu makan semasa berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas,
membeli langsir dan sebagainya. Jadilah
Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan
dahaga yang disebutkan oleh Rasululah.
Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan
dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat dengan
benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah
juga kita di luar solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan
kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk
Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan
telah menyempurnakan Syahadah kita.
Rumusannya, Solat adalah cermin diri
dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita.
Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila
kita kembali menghadap-Nya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan
kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga
solatnya.
Belajarlah Solat dengan Khusyuk,
rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada dunia dengan sering
bersedekah dan berinfaq di jalan-Nya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah
sebagai jiwa yang tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang
didiami oleh ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.
Firmah Allah yang
bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi
diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam
syurgaKu” (Al-Balad)
hang out x ajak aq !
ReplyDeletekejam gla !!
na majuk ark maceni :(